KERAJAAN MADANI menegaskan bahawa mekanisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup jelas dan kukuh bagi menangani sebarang isu salah laku melibatkan anggota badan kehakiman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim.
Seterusnya, menurut beliau, penggantungan tugas pula boleh dilakukan atas nasihat Perdana Menteri setelah perbincangan dengan Ketua Hakim Negara.
“Selain itu, Ketua Hakim Negara juga mempunyai kuasa merujuk pelanggaran etika kehakiman kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 125(3A) dan Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 [Akta 703].
“Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis yang menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Judges’ Code of Ethics 2009 [P.U. (B) 201/2009] yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009 turut menjadi rujukan utama dalam memastikan standard profesionalisme kehakiman terus terpelihara.
Azalina menjelaskan bahawa kerangka perundangan dan etika sedia ada bertujuan memelihara kebebasan badan kehakiman daripada sebarang pengaruh politik atau luaran, sejajar dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Proses ini juga menegaskan bahawa Badan Eksekutif dan Badan Legislatif tidak boleh mencampuri urusan etika kehakiman, justeru mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” ujarnya.
Mengulas perarakan Walk to Safeguard Judicial Independence oleh Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini, Azalina menegaskan bahawa kerajaan mengambil maklum terhadap kebimbangan yang dibangkitkan.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab dan telus, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebagai langkah ke hadapan, katanya, kerajaan telah memulakan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman yang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), bersama Jawatankuasa Pilihan Khas dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Kajian ini akan memperjelas peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan menangani sebahagian isu yang turut dibangkitkan Majlis Peguam.
“Kerajaan juga akan menjemput Majlis Peguam untuk turut serta dalam kajian ini, demi memastikan sistem pelantikan kehakiman yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat,” katanya.
Azalina turut menegaskan bahawa sebarang tuntutan atau pandangan berhubung institusi kehakiman perlu dilihat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] serta undang-undang lain yang berkuat kuasa.
Justeru, beliau menyeru semua pihak agar terus menghormati peranan serta proses berperlembagaan yang menjadi tiang seri kepada kebebasan badan kehakiman negara. — Edisi 9

