PELANTIKAN hakim mahkamah atasan perlu ditangani secara sah bagi mengelak perjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong dipolitikkan, demikian ditegaskan oleh Istana Negara.
Menurut Istana Negara, pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan adalah urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Istana Negara menjelaskan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri.
“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.
Isu pelantikan hakim mahkamah atasan menjadi perhatian umum berikutan kekosongan serentak jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ekoran bersara wajib dan tamat tempoh.
Sesetengah pihak, termasuk bekas hakim dan NGO melahirkan kebimbangan wujudnya campur tangan politik dalam pelantikan.
Mereka mempersoalkan sama ada Perdana Menteri benar-benar bebas daripada pengaruh politik dalam menasihati Agong berhubung pelatikan tersebut.
Beberapa kumpulan mendesak agar pelantikan jawatan kehakiman tinggi dibuat melalui Suruhanjaya Bebas Pelantikan Hakim, bukan hanya atas nasihat Perdana Menteri.
Manakala sekumpulan Ahli Parlimen kerajaan sendiri mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyemak semula proses pelantikan hakim-hakim utama negara.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberi jaminan bahawa proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri susulan kekosongan kedua-dua jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara.
Menurutnya, kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat dan komited memastikan integriti institusi kehakiman terus terpelihara sebagai tunjang utama kedaulatan undang-undang negara.
“Pelantikan Ketua Hakim Negara akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dilapor media.
Jelas Azalina, proses rundingan akan dilaksanakan bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini. — Edisi 9

