Friday, July 24, 2026

Dasar sekat kenaikan pangkat kerana BMI tidak realistik – Pakar

Pendekatan yang digunakan tidak seharusnya bersifat menghukum atau mengabaikan kerumitan sebenar penyakit obesiti.

Mesti Baca

CADANGAN untuk menyekat kenaikan pangkat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gagal mencapai tahap Indeks Jisim Badan (BMI) tertentu dikritik sebagai tidak realistik dan bertentangan dengan sains kesihatan semasa.

Pakar Perubatan Keluarga dan Obesiti, Dr. Steven Teoh Soo Kuat berkata, meskipun niat untuk menekankan kepentingan kesihatan amat dialu-alukan, pendekatan yang digunakan tidak seharusnya bersifat menghukum atau mengabaikan kerumitan sebenar penyakit obesiti.

“Obesiti bukan sekadar isu disiplin diri. Ia penyakit kronik yang kompleks, dipengaruhi oleh genetik, fungsi otak, persekitaran obesogenik serta tekanan hidup,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Menurut Dr Steven, tindakan mengenakan syarat BMI sebagai ukuran tunggal untuk kelayakan naik pangkat menggambarkan pendekatan “satu saiz sesuai untuk semua” yang tidak selari dengan prinsip rawatan moden dan amalan perubatan berasaskan bukti.

Tambahnya, walaupun pembedahan bariatrik (MBS) ditawarkan di hospital kerajaan, kemudahan tersebut amat terhad dan tidak semua pesakit layak menjalani prosedur itu.

DR STEVEN TEOH SOO HUAT

“Bagaimana pula dengan pegawai yang tidak layak menjalani pembedahan? Adakah SPRM akan menampung kos ubat-ubatan rawatan obesiti yang masih mahal dan tidak disubsidi di kebanyakan fasiliti?” soal beliau.

Dr. Steven juga mempersoalkan sama ada agensi terbabit menyediakan sokongan tambahan seperti jurulatih kecergasan, makanan sihat di pejabat, kaunselor psikologi atau perkhidmatan dietetik sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh ke arah gaya hidup sihat.

“Ramai individu yang telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 hingga 15 peratus, dan ini adalah pencapaian klinikal yang diiktiraf tetapi masih belum mencapai BMI ‘ideal’.

“Adakah mereka tetap dianggap gagal dan dinafikan peluang kenaikan pangkat?” ujarnya.

Beliau menyeru supaya pihak pengurusan SPRM meneliti semula dasar berkenaan dan merujuk kepada pakar kesihatan sebelum melaksanakan pendekatan yang berisiko menghukum pesakit kerana biologi tubuh mereka sendiri.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai dan anggota SPRM yang gagal menepati polisi BMI 27 tidak layak menerima kenaikan pangkat bermula Januari tahun hadapan.

Sehubungan itu, pihaknya memberikan tempoh enam bulan kepada semua warga SPRM untuk mencapai berat badan ideal. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan