KURANG setahun selepas dilancarkan, Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) berjaya menggerakkan pelaburan langsung domestik berjumlah RM11 bilion, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memperkasa ekonomi negara dan rakyat.
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan RM22 bilion yang telah dikenal pasti oleh enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) utama, bersamaan 88 peratus daripada keseluruhan sasaran RM25 bilion di bawah fasa awal pelaksanaan GEAR-uP.
Lebih membanggakan, sebanyak 153,000 pekerja GLIC dan GLC akan menikmati gaji kehidupan wajar minimum sebanyak RM3,100 sebulan, selaras dengan agenda kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengangkat martabat tenaga kerja negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan awal GEAR-uP mencerminkan komitmen kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya kekuatan institusi negara demi membina masa depan ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.
“Beginilah caranya kita manfaatkan kekayaan institusi negara untuk memperkasa masyarakat serta membina ekosistem industri bernilai tinggi,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini.
GEAR-uP diselaraskan berdasarkan prinsip Ekonomi MADANI dan menyasarkan pergerakan pelaburan keseluruhan sebanyak RM120 bilion dalam tempoh lima tahun.
Enam GLIC utama yang menerajui program ini ialah Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Antara pelaburan utama yang sedang dilaksanakan termasuk lebih RM800 juta dalam ekosistem semikonduktor dan pembangunan hab industri hijau dan pintar seluas 3,000 ekar di Kerian dan Pulau Carey.
Selain itu penyaluran lebih RM200 juta dalam bentuk biasiswa dan program pembangunan bakat belia B40 serta pelaburan komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 700,000 rakyat.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GEAR-uP bukan sahaja menumpukan kepada pelaburan semata-mata, malah memberi penekanan kepada penjajaran strategik yang mampu melonjakkan daya saing negara dalam sektor teknologi tinggi.
“Kami membuka peluang bernilai RM120 bilion untuk membina industri masa hadapan dan meningkatkan pendapatan rakyat. Inilah terjemahan sebenar kepada transformasi ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, beberapa inisiatif baharu sedang dirancang atau dilaksanakan termasuk pelaburan tambahan sebanyak RM11 bilion oleh semua GLIC
Selain itu, katanya, PNB akan membimbing 10 syarikat Bumiputera berpotensi tersenarai manakala KWSP pula akan memperluas pelaburan dalam bidang kesihatan dan penjagaan warga emas.
LTAT dan PNB, jelas Amir Hamzah, akan memperkukuh sektor farmaseutikal dan biofarmaseutikal tempatan, Khazanah memperkasa rantaian nilai semikonduktor negara manakala KWAP akan melancarkan Dana Pemacu bernilai RM6 bilion bermula suku ketiga 2025.
“GEAR-uP akan diperluas kepada lebih 30 GLC, dengan sasaran nilai pasaran terkumpul RM100 bilion, pulangan pemegang saham sebanyak 7.5 peratus, serta pelbagai hasil bukan kewangan termasuk pelaksanaan gaji wajar, pembangunan kepimpinan Bumiputera dan peningkatan daya saing industri,” katanya. — Edisi 9

