SEBANYAK 251 mangsa terlibat dalam 108 kes insiden di laut yang direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dari Januari hingga Mei tahun ini, membuktikan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran keselamatan maritim dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Tahir Khalid berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 203 orang berjaya diselamatkan, manakala 36 mangsa disahkan maut dan 12 lagi masih hilang.
Beliau menjelaskan bahawa jika trend ini berterusan, angka korban berkemungkinan mencecah sehingga 100 nyawa menjelang penghujung tahun ini.
Statistik tersebut dinyatakan beliau ketika berucap sempena Program Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) 2025 yang berlangsung di Persiaran Kapal Bugis, Klang.
Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh serta Pegawai Khas N44 ADUN Selat Klang, Roslan Ibrahim.
Terdahulu, Mohd Tahir memaklumkan, program ini diadakan secara tahunan pada 6 Jun bagi memperingati detik bersejarah pengambilalihan tugas penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) oleh Maritim Malaysia daripada Jabatan Laut Malaysia bermula pada tahun 2006.
“Bertemakan Berapung Untuk Hidup, HKKM bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi menjadi platform utama untuk menyemai kefahaman serta membentuk budaya keselamatan dalam kalangan komuniti maritim dan masyarakat umum.
“Kemahiran berapung satu elemen asas yang mampu menyelamatkan nyawa ketika berlaku kecemasan di laut.
“Kajian menunjukkan ramai mangsa insiden boleh diselamatkan jika memiliki ilmu asas bertahan sementara menunggu bantuan tiba,” jelas beliau lagi.
Antara pengisian utama Sambutan HKKM 2025 adalah aktiviti Berapung Untuk Hidup dengan penyertaan Persatuan Squad Insaniah dan Persatuan Bot Rekreasi Selangor.
Turut diadakan demonstrasi menyelamat dari udara, dialog bersama komuniti nelayan dari Tok Muda, Kapar dan Klang, pameran keselamatan maritim, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Fakulti Pergigian UiTM serta jualan Rahmah.
Mohd Tahir dalam pada itu turut menekankan terhadap aspek keselamatan menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November nanti.
“Komuniti maritim disarankan membuat semakan ramalan cuaca sebelum ke laut, memastikan keadaan bot dan peralatan selamat digunakan, membawa Personal Locator Beacon (PLB), jaket keselamatan, kit kecemasan, serta memaklumkan lokasi kepada keluarga atau kenalan,” tegas beliau.
Maritim Malaysia turut menyeru agar masyarakat tidak memandang ringan aspek keselamatan, sebaliknya mengambil peluang mempelajari kemahiran asas seperti berenang dan teknik berapung sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangka.
Penganjuran ini diharap menjadi titik tolak kepada pembudayaan keselamatan dalam kehidupan seharian masyarakat, terutama mereka yang bergantung kepada laut sebagai sumber rezeki. — Edisi 9

