Wednesday, July 22, 2026

MPPK kecam tindakan mahasiswa bakar karikatur Anwar

Kebebasan bersuara di kampus perlu disandarkan kepada kematangan intelektual dan bukan bertukar menjadi tindakan ekstrem atau penghinaan.

Mesti Baca

MAJLIS Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam tindakan segelintir mahasiswa yang terlibat dalam insiden membakar karikatur pemimpin tertinggi negara semasa satu perhimpunan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan tegas, MPPK menyifatkan tindakan berkenaan sebagai provokatif, keterlaluan dan mencemar nama baik institusi pengajian tinggi (IPT) yang seharusnya menjadi medan ilmu, kesantunan dan wacana intelektual.

“Perbuatan ini tidak hanya mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan yang dijunjung tinggi oleh warga universiti,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

MPPK menegaskan, mereka menghormati prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan di kampus dan mengiktiraf peranan mahasiswa sebagai suara intelektual yang bebas.

Namun, katanya, kebebasan tersebut perlu disandarkan kepada kematangan intelektual dan bukan bertukar menjadi tindakan ekstrem atau penghinaan.

MPPK turut memuji pendekatan berjiwa besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengarahkan tindakan keras diambil terhadap pelajar terlibat, walaupun menjadi sasaran insiden tersebut.

“Pendekatan penuh ihsan ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada akses kepada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan,” jelas MPPK.

Sehubungan itu, MPPK menyeru seluruh mahasiswa dan warga kampus untuk terus mengangkat prinsip kesantunan, penghormatan serta perbezaan pandangan secara beradab sebagai teras kepada ekosistem demokrasi yang matang dan beradab.

“MPPK kekal komited memelihara keharmonian dan ketenteraman kampus agar terus menjadi ruang intelektual yang aman, sejahtera dan kondusif untuk pembangunan ilmu, sahsiah dan kepimpinan mahasiswa,” tambah kenyataan itu lagi.

Pihaknya turut menggesa semua pihak agar menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu keamanan kampus dan negara demi masa depan yang lebih bermaruah dan bersatu.

Ahad lalu, satu aksi membakar kain rentang bergambar karikatur Anwar dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa di akhir perhimpunan aman yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh kumpulan dikenali sebagai Sekretariat Rakyat Benci Rasuah sebagai bantahan terhadap isu rasuah dan dakwaan kegagalan pentadbiran kerajaan semasa menunaikan janji reformasi institusi.

Jurucakapnya, Fadhil Kasim berkata, karikatur dibakar itu merupakan simbol protes terhadap pelantikan Tan Sri Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, meskipun tokoh pemimpin berkenaan pernah berdepan 46 pertuduhan jenayah berkaitan konsesi balak di negeri tersebut. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan