KEMENANGAN MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab Felda Trolak meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam Festival Antarabangsa Tiupan Orkestra Ke-26 disifatkan bukan sahaja kejayaan dalam bidang muzik.
Sebaliknya, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ia adalah manifestasi potensi besar anak-anak Malaysia di peringkat global.
“Kemenangan ini simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia.
“Ia menjadi bukti bahawa tiada batas untuk bermimpi dan tiada sempadan untuk berjaya,” katanya menerusi kenyataan dalam media sosial hari ini.
Dalam pertandingan yang berlangsung di Prague, Republik Czech itu, MAWO Ulul Albab Felda Trolak berjaya merangkul Golden Diploma Award dalam kategori middle class dalam festival tersebut hari ini.
Kejayaan ini menyaksikan MAWO, satu-satunya wakil dari benua Asia, menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam buah negara Eropah.
Lebih membanggakan, MAWO turut dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi oleh barisan juri profesional bertaraf antarabangsa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beliau berkesempatan menyantuni dan memberi sokongan secara langsung kepada para anggota MAWO semasa Konsert “Desaku Mendunia” yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri pada 28 Mei lalu, sebelum keberangkatan mereka ke Prague.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan menerusi KKDW akan terus menyokong pembangunan bakat anak-anak muda luar bandar dalam bidang seni dan budaya melalui penyediaan peralatan, dana serta bimbingan berterusan.
“Kejayaan ini bukan hanya milik MRSM dan FELDA, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.
MAWO, yang dianggotai oleh pelajar-pelajar berbakat dari latar belakang luar bandar, kini dilihat sebagai ikon baharu dalam penghasilan bakat seni bertaraf dunia menerusi program pendidikan dan pembangunan sahsiah anjuran MARA dan Felda.
Sementara itu Felda dalam satu kenyataan berkata, kejayaan MAWO itu membuktikan pendidikan berteraskan Ulul Albab serta sokongan FELDA terhadap pembangunan potensi generasi muda mampu melahirkan bakat cemerlang yang bersaing di pentas antarabangsa.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan warga MRSM dan FELDA, malah menjadi inspirasi kepada seluruh anak muda luar bandar bahawa tiada batasan untuk berjaya di peringkat dunia,” kata kenyataan itu. — Edisi 9

