PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kekuatan UMNO tidak pernah luntur meskipun berdepan pelbagai cabaran, sebaliknya terus teguh berpaksikan akar umbi dan kesetiaan ahli parti di seluruh pelosok tanah air.
Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO akan terus menjadi sebuah parti yang relevan dan berjiwa rakyat selagi ia berpegang kepada prinsip perjuangan asal dan semangat akar umbi.
“UMNO terus berdiri teguh kerana ia sentiasa memahami nadi rakyat. Keutuhan parti ini lahir daripada iltizam ahlinya yang tidak pernah lelah menyambung warisan perjuangan dengan jiwa yang bersih serta semangat yang jitu,” katanya.
Majlis yang berlangsung dengan tema ‘Kukuh di Akar, Teguh di Puncak’ itu turut dihadiri pimpinan UMNO negeri, para perwakilan bahagian serta ahli-ahli veteran dan muda yang terus komited bersama parti.
Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, perjuangan politiknya sendiri tidak dapat dipisahkan daripada Bagan Datuk, kerana di sinilah akar perjuangan beliau bermula.

“Sebagai anak jati Bagan Datuk, tanah ini sentiasa menjadi nadi kepada perjalanan perjuangan saya. Setiap langkah saya dalam politik dan kepimpinan sentiasa berakar pada suara serta denyut rasa masyarakat di sini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UMNO Bagan Datuk yang menurutnya terus teguh berdiri bersama parti meskipun pernah diuji dengan kehilangan kuasa dan pelbagai tohmahan.
“Kita pernah dihentam dengan fitnah, namun kewarasan tetap memandu langkah. Kita pernah dihina, namun maruah tidak pernah tergadai. Inilah kekuatan sebenar warga UMNO Bagan Datuk,” tegas beliau.
Mengulas mengenai peranan generasi muda, Ahmad Zahid menegaskan bahawa mereka merupakan penjaga masa depan parti dan perlu diberi ruang serta kepercayaan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan UMNO.
“Selagi akar perjuangan ini dijaga dengan kasih serta keikhlasan, UMNO akan terus menjadi pohon yang memberi teduh kepada bangsa dan negara,” katanya lagi.
Ahmad Zahid turut menyeru semua jentera parti agar terus bekerja dan berbakti kepada rakyat demi memastikan UMNO kekal relevan dan kembali mendapat kepercayaan majoriti rakyat. _ Edisi 9

