Thursday, June 4, 2026

MPD bantu rancang pembangunan bukan jejaki rakyat – MCMC

Data lokasi yang diperoleh melalui isyarat telefon bimbit ke menara telekomunikasi hanya digunakan untuk mengenal pasti pola pergerakan orang ramai secara umum.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa Projek Inisiatif Data Telefon Bimbit (MPD) yang dilaksanakan kerajaan bukan untuk menjejak pergerakan individu rakyat, sebaliknya digunakan bagi tujuan perancangan perkhidmatan awam serta pengurusan bencana.

Menurut MCMC, data yang digunakan dalam projek tersebut telah melalui proses pengasingan identiti dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon atau nombor kad pengenalan.

“MPD bukan sistem pengintipan. Ia hanyalah sistem yang mengumpul data pergerakan secara agregat tanpa mengenal pasti identiti mana-mana individu.

“Sebagai contoh, sistem hanya merekodkan bahawa sejumlah 5,000 telefon bimbit bergerak dari Seremban ke Nilai, tanpa mengetahui siapa pemiliknya,” jelas MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah MCMC, data lokasi yang diperoleh melalui isyarat telefon bimbit ke menara telekomunikasi hanya digunakan untuk mengenal pasti pola pergerakan orang ramai secara umum.

Maklumat tersebut, katanya, penting untuk membantu kerajaan menambah baik perkhidmatan seperti pengangkutan awam, perancangan bandar, pelancongan, dan juga semasa berlaku bencana.

“Contohnya, jika data menunjukkan jumlah pengguna yang tinggi dari Rawang ke Kuala Lumpur pada setiap pagi, kerajaan boleh merancang untuk menambah bas ekspres atau menaik taraf laluan yang digunakan,” jelas kenyataan itu lagi.

MCMC turut menekankan bahawa hanya pegawai tertentu dari MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diberi akses kepada data berkenaan, dan ia tidak dikongsi dengan mana-mana pihak swasta termasuk syarikat e-dagang, pengiklan mahupun pembangun aplikasi.

Mengulas lanjut, MCMC menjelaskan bahawa data tersebut disimpan dengan selamat dan hanya untuk tempoh yang ditetapkan mengikut garis panduan keselamatan sedia ada.

Katanya, semua proses pemprosesan data pula tertakluk kepada audit dalaman dan luaran bagi mengelakkan penyalahgunaan.

“Seperti proses pilihan raya, jumlah dikira tetapi siapa yang mengundi kekal rahsia. Begitulah pendekatan privasi kami dalam MPD,” kata MCMC.

Projek MPD ini juga, menurut MCMC, mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Telekomunikasi Dunia (ITU), GSMA serta Dasar Keselamatan ICT Negara bagi memastikan tahap keselamatan dan ketelusan berada pada standard antarabangsa.

Negara-negara lain seperti Sepanyol, Perancis, Brazil dan Indonesia juga telah melaksanakan inisiatif serupa bagi tujuan perancangan pembangunan negara masing-masing, terutamanya semasa pandemik COVID-19.

Dalam masa sama, MCMC menafikan laporan beberapa media antarabangsa yang mendakwa projek tersebut digunakan untuk tujuan pemantauan rakyat secara individu.

“Ini satu salah faham. Sama seperti kajian jumlah pelancong ke Sabah, kita hanya tahu bilangan, bukan siapa yang datang,” ujar kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas serta mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan