
DALAM dunia politik yang serba dinamik, pengunduran tokoh utama sering dijadikan bahan spekulasi dan polemik.
Terbaharu, pengunduran dua nama besar dalam landskap reformasi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menimbulkan pelbagai reaksi.
Namun, adakah ini petanda krisis, atau sebaliknya peluang untuk pembaharuan yang lebih mendalam dalam politik negara?
Hakikatnya, perjuangan politik tidak boleh berpusat kepada individu semata-mata.
Dalam kes Rafizi, beliau merupakan arkitek kepada banyak idea progresif yang mengangkat agenda reformasi dan dasar ekonomi yang inklusif.
Namun, perjuangan ini lebih besar daripada seorang tokoh.
Ia adalah gerakan kolektif yang memerlukan kesinambungan, penyertaan generasi pelapis, dan kematangan struktur organisasi.

Maka, pengunduran beliau sebagai menteri Kabinet harus dilihat sebagai ruang untuk menyusun semula, bukan tanda kejatuhan Kerajaan Perpaduan.
Politik moden perlu berkembang daripada bergantung kepada karisma individu kepada pembinaan sistem yang mapan, telus dan berdaya tahan.
Di sinilah pentingnya politik pasca-personaliti iaitu politik yang tidak bergantung kepada satu wajah tetapi disandarkan kepada prinsip, idea, dan struktur yang mantap.
Lebih penting, sebarang pertukaran dalam barisan kepimpinan parti atau kerajaan tidak sepatutnya mengalihkan fokus rakyat daripada agenda utama negara iaitu pemulihan ekonomi, penyelesaian isu kos sara hidup, dan pemantapan institusi.
Malah, kestabilan politik yang ada kini telah mula menunjukkan hasil dengan peningkatan keyakinan pelabur dan pemulihan keyakinan pasaran.
Dalam konteks ini, spekulasi mengenai rombakan Kabinet atau kehilangan hala tuju hanya akan membazirkan tenaga rakyat kepada drama yang tidak perlu.
Sebaliknya, apa yang perlu diraih sekarang ialah momentum pembaharuan, dengan melibatkan lebih ramai muka baharu termasuk anak muda, pakar profesional, dan pemimpin akar umbi untuk mengangkat naratif baharu dalam kepimpinan negara.
Seperti yang dinyatakan oleh beberapa penganalisis, pemilihan dalaman parti adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi demokratik. Ia tidak harus didramatiskan seolah-olah wujud kekosongan kuasa.
Musuh politik sering menangguk di air keruh dengan cuba memutar naratif ini sebagai krisis, walhal ia sebenarnya proses pendewasaan dalam sistem demokrasi parti.
Akhirnya, rakyat tidak menilai kerajaan semata-mata berdasarkan siapa yang duduk di kerusi menteri.
Rakyat menilai hasil dan kesan langsung kepada kehidupan mereka iaitu gaji yang mencukupi, harga barang yang munasabah, peluang pekerjaan, dan kestabilan jangka panjang.
Justeru, ini bukan masa untuk politik emosi. Ini masa untuk membina semula dengan tenang dan berstrategi.
Negara tidak lagi boleh menunggu, sebaliknya ini adalah masa untuk bertindak bersama-sama. – Edisi 9

