Thursday, June 4, 2026

Nurul Izzah vs Rafizi: Pertembungan antara warisan dan wawasan

Perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR boleh ditafsir sebagai pertembungan dua pendekatan iaitu politik idea dan teknokrasi berbanding politik nilai dan warisan perjuangan.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PERTANDINGAN merebut jawatan Timbalan Presiden PKR antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli bukan sekadar pemilihan dalaman parti.

Ia berpotensi menjadi titik tolak penting kepada masa depan parti yang menjadi tunjang Pakatan Harapan (PH) itu dan wajah kepimpinan negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Sebagai anak kepada Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah mewarisi satu warisan politik yang sarat dengan perjuangan reformasi.

Beliau bukan sahaja digelar “Puteri Reformasi” malah sering dianggap sebagai pelapis semula jadi dalam kesinambungan legasi kepimpinan Anwar.

Imej beliau kekal bersih, berprinsip dan sederhana yang menjadi satu aset politik sangat berharga dalam landskap politik pasca-PRU15 yang kian polarised.

Dalam kalangan penyokong bandar dan kelas menengah, Nurul Izzah membawa satu bentuk harapan iaitu politik yang tidak bersifat agresif, tetapi jujur dan progresif.

Namun dalam politik, warisan bukan jaminan, dan populariti semata-mata tidak mencukupi.

Pertembungan antara Rafizi dan Nurul Izzah boleh ditafsir sebagai pertembungan dua pendekatan iaitu politik idea dan teknokrasi berbanding politik nilai dan warisan perjuangan.

Rafizi terkenal dengan pendekatan berasaskan data dan strategi akar umbi. Beliau berjaya membina jaringan sendiri dalam parti melalui kempen Invoke dan peranan penting dalam kemenangan PH dalam PRU-14.

Nurul Izzah pula membawa simbol moral, harapan rakyat, dan nilai kepimpinan insani yang jarang dimiliki mana-mana tokoh wanita dalam politik nasional.

Namun, pertandingan seperti ini boleh membawa dua kemungkinan kepada PKR sama ada akan ,ematangkan parti melalui demokrasi dalaman, atau mencetuskan perpecahan dalaman yang boleh menjejaskan peluang PKR dalam PRU-16.

Bagi pengundi atas pagar, pertandingan ini tidak semestinya menambah keyakinan sebaliknya boleh mengukuhkan persepsi bahawa PKR masih terperangkap dalam politik dalaman yang tidak berkesudahan.

Jika PKR mahu terus kekal relevan selepas era Anwar, ia perlu menampilkan pelapis kepimpinan yang diyakini rakyat yang bukan sahaja popular tetapi juga berkeupayaan mentadbir dan menyatukan rakyat Malaysia yang semakin terbelah.

Nurul Izzah mempunyai kualiti unik sebagai pemimpin wanita dengan sosok pemimpin yang bersih, berintegriti dan empati tinggi tetapi untuk pergi lebih jauh dalam politik, sebagai Perdana Menteri misalnya, beliau perlu membina kekuatan politik sebenar, bukan bergantung pada nostalgia perjuangan.

Pertandingan Timbalan Presiden PKR mungkin menjadi medan pertama bagi Nurul Izzah dalam mengharungi ujian besar tersebut. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan