LAGI 112 warga asing terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan dan India dihalang daripada memasuki Malaysia oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ini berikutan kegagalan mereka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi tersebut hasil pemantauan berkala oleh Unit Pemantau AKPS di pintu masuk utama negara tersebut, semalam.
Menurut kenyataan AKPS, operasi yang melibatkan pemeriksaan ke atas lebih 300 individu dari pelbagai negara itu mendapati sebilangan daripada mereka telah mendarat lebih enam jam namun tidak hadir ke kaunter untuk pemeriksaan imigresen.
“Hasil pemantauan mendapati tindakan mereka ini disengajakan dan mencetuskan keraguan terhadap tujuan kedatangan mereka ke negara ini,” kata kenyataan itu hari ini.
AKPS berkata, kesemua 112 individu yang ditahan itu kemudiannya telah dibawa ke Pejabat Unit Pemantau AKPS KLIA untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut sebelum keputusan rasmi penolakan kemasukan dikeluarkan ke atas mereka.
Katanya, AKPS akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pintu masuk dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.
Pada 15 Mei lalu, seramai 64 warga asing dihalang memasuki negara selepas dikesan cuba menipu pihak berkuasa menggunakan dokumen palsu dalam satu operasi pemantauan berkala di Terminal 1 KLIA.
AKPS berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 57 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga India dan dua lelaki warga Pakistan. – Edisi 9

