WALAUPUN terpaksa menempuh perjalanan jauh, menaiki bot dan meredah kampung-kampung terpencil, 26 mahasiswa Universiti Malaya (UM) tetap gagah menyantuni masyarakat di Pulau Sebatik dan Pulau Sangaban, Sabah dalam Program Mahabbah Care4Ummah (PMC) 6.0, baru-baru ini.
Bertemakan kasih sayang dan ukhuwah, program selama lapan hari bermula 20 Februari itu cukup menyentuh hati, bukan sahaja buat penduduk kampung, malah para sukarelawan sendiri.
Program yang digerakkan oleh Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) menerusi Jabatan Syariah dan Pengurusan, dengan kerjasama Care4Asnaf dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), menyaksikan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan dijalankan.
Pengarah program, Muhammad Luqman Mohd Fadzli berkata, kehadiran mereka bukan sekadar membawa bantuan fizikal, tetapi mahu menyampaikan rasa kasih sayang dan keprihatinan kepada masyarakat pedalaman.
“Kami mahu mereka rasa dihargai, disayangi. Dalam masa sama, mahasiswa sendiri belajar untuk bersyukur dan memahami realiti kehidupan luar bandar yang sangat mencabar,” katanya.

Di Pulau Sebatik, lebih 200 penduduk dari lapan kampung sekitar hadir menyertai program.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Majlis Perasmian Surau Al-Aziziya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Ghani Pg Amir, selain bengkel wuduk, solat dan pengurusan jenazah.
Kanak-kanak pula tidak ketinggalan menyertai Little Qari & Tahsin Fatihah, memperbaiki bacaan surah al-Fatihah dan mendekatkan diri dengan Al-Quran sejak kecil.
Turut diadakan halaqah ilmu bertajuk “Islam dan Kasih Sayang” oleh pendakwah terkenal, As-Syarif Muhammad Siddiq Al-Hasani Al-Maliki bersama Dr. Asmuliadi Lubis, yang membuka ruang diskusi antara penduduk dan sukarelawan.
Di Pulau Sangaban, sukarelawan menyerahkan kelengkapan sekolah kepada 21 pelajar asnaf menerusi projek Back to School, selain menghantar tiga tangki air ke Pulau Nusa Tengah yang selama ini bergantung kepada air hujan semata-mata.

Lebih mengharukan, aktiviti Kembara Kasih menyaksikan bantuan asas dibawa menaiki bot kecil ke rumah-rumah pendalaman.
“Waktu agih pek Ramadan, ada seorang warga emas peluk saya erat sambil ucap terima kasih. Dia kata, ‘terima kasih datang ingat kami’… waktu tu saya hampir menangis.
“Kita hidup senang di bandar, tapi mereka nak dapatkan air bersih pun susah,” kata Luqman sebak.
Bagi wakil NGO Care4Asnaf, Mohd Nawawai Reza, program itu mengubah cara dia melihat kehidupan.
“Melihat kegembiraan anak-anak terima beg sekolah baharu cukup menyentuh hati. Ia perkara kecil bagi kita, tapi besar buat mereka. Dari situ saya belajar bahawa bahagia itu bukan pada menerima, tapi pada memberi,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai anak muda berani keluar dari zon selesa dan turun padang menyumbang kepada masyarakat. – Edisi 9

