SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memperluaskan inisiatif penghantaran ubat menggunakan dron ke 392 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjelang 2027.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, fasal pertama inisiatif itu akan dilaksanakan di dua buah NADI dengan salah satunya di Tawau, Sabah.
“Seterusnya, projek rintis ini akan diperluaskan ke 150 buah NADI pada 2026 dan disempurnakan kepada keseluruhan 392 buah NADI menjelang tahun 2027.
“Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 1,099 buah NADI di seluruh negara,” kata kenyataan itu, semalam.
MCMC berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan selaku rakan utama dan rakan-rakan strategik seperti MRANTI, serta penyedia teknologi dron tempatan.
Jelas MCMC, inisiatif tersebut merupakan projek perintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman.
Katanya, penghantaran dibuat dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk pulau, pedalaman dan lokasi yang tidak mempunyai keadaan jalan yang baik.
MCMC berkata, melalui kerjasama antara pelbagai agensi, projek tersebut turut menyokong agenda pengembangan inisiatif kerajaan sedia ada.
Ini dengan penumpuan kepada akses perkhidmatan kesihatan masa hadapan yang lebih berkualiti dan saksama kepada komuniti luar bandar melalui teknologi, seiring dengan perkembangan dan ketersediaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI). – Edisi 9

