JABATAN Pertanian menjelaskan kebenaran eksport kelapa segar dari Malaysia ke China adalah untuk jenis kelapa muda bagi tujuan minuman segar dan bukannya kelapa tua bagi tujuan pengambilan santan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Sam Alwi berkata, di bawah Protokol Keperluan Fitosanitari yang dimeterai oleh kedua-dua negara itu, keutamaan diberikan kepada varieti kelapa wangi (aromatic coconut) seperti kelapa pandan yang mempunyai aroma unik berbau pandan dan tahap kemanisan brix sekitar 6.7˚.
Beliau berkata, keutamaan eksport kelapa muda berasaskan permintaan pengguna luar negara dan memberi pulangan nilai tambah, khususnya dalam bentuk minuman segar.
“Kelapa tua pula diimport dalam jumlah besar melebihi 278,000 tan metrik bagi menampung keperluan khusus industri pemprosesan berasaskan kelapa seperti santan, kerisik, kelapa kering dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rabu lalu, Malaysia secara rasmi mendapat kelulusan mengeksport kelapa segar ke pasaran China menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sempena lawatan negara selama tiga hari Presiden China Xi Jinping ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Kelapa Segar dari Malaysia ke China adalah penting bagi memastikan kebolehpasaran dan daya saing kelapa segar tempatan di pasaran negara itu.
Bagaimanapun usaha tersebut dipersoal oleh pengguna dengan mengaitkan masalah kekurangan bekalan kelapa yang dihadapi negara.
Nor Sam berkata, tiga negeri utama pengeluar kelapa di Malaysia ialah Selangor, Johor dan Perak dengan 93 peratus kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5 peratus) dan agensi kerajaan (0.5 peratus).
Beliau berkata, berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, dianggarkan terdapat seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara.
Manakala dari segi pengeluaran pula, katanya, pekebun kecil menyumbang lebih 80 peratus kepada jumlah pengeluaran negara, membuktikan penyertaan mereka serta sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah teras kepada pertumbuhan industri kelapa negara
“Pada tahun 2023, pengeluaran kelapa negara mencecah 624,000 tan metrik. Daripada jumlah ini, sebanyak 6,000 tan metrik kelapa muda telah dieksport,” katanya. – Edisi 9

