Wednesday, July 22, 2026

Harga ikang aya, tuna neritik dikawal sempena Aidilfitri

Langkah itu bertujuan memastikan kestabilan harga dan ketersediaan bekalan ikan di pasaran, khususnya menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan.

Mesti Baca

IKANG aya atau ikan tongkol serta tuna neritik dimasukkan ke dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) khususnya bagi penjualan di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, langkah itu bertujuan memastikan kestabilan harga dan ketersediaan bekalan ikan di pasaran, khususnya menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, harga maksimum bagi ikan aya bersaiz 1-2 ekor sekilogram telah ditetapkan di negeri Pantai Timur itu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

“Jabatan Perikanan komited dalam memastikan kestabilan harga dan bekalan ikan di pasaran, khususnya semasa musim perayaan.

“Peningkatan pendaratan tuna neritik, termasuk ikan tongkol, adalah bukti usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kelangsungan industri perikanan negara dan kestabilan harga untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, selain ikan aya, beberapa hasil laut lain turut dikawal harganya, antaranya ikan emudok/sagai/cermin/cupak (3-5 ekor sekilogram) di Sabah, ikan kembung termasuk ikan mabung (8-12 ekor sekilogram) di seluruh negara, serta ikan selayang (8-12 ekor sekilogram) yang juga tertakluk kepada kawalan harga di seluruh negara.

Beliau berkata, pendaratan ikan tuna neritik di seluruh negara bagi tahun 2024 meningkat begitu ketara dengan jumlah 63,780.32 tan metrik dengan nilai lebih RM781.3 juta.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan pertumbuhan positif dalam sektor perikanan negara berbanding tahun 2023 yang merekodkan pendaratan sebanyak 55,222.67 tan metrik.

“Negeri Perak muncul sebagai pengeluar utama tuna neritik pada tahun ini dengan pendaratan sebanyak 16,933.90 tan metrik bernilai sekitar RM207.4 juta, diikuti oleh Sabah dengan jumlah pendaratan sebanyak 12,479.22 tan metrik bernilai RM152.9 juta,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memantau bekalan serta pendaratan ikan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara.

“Usaha pengawalan harga dan pemantauan pendaratan ini diharapkan dapat membantu menstabilkan harga ikan di pasaran serta menjamin bekalan yang mencukupi untuk pengguna.

“Orang ramai dinasihatkan agar merancang pembelian dengan bijak serta menyokong inisiatif kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga barangan keperluan utama,” katanya.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan