JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Australia Federal Police (AFP) berjaya merampas buah kontena berisi 166 tong disyaki dadah jenis Methamphetamine di Pelabuhan Klang, Selangor 25 Januari lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dadah seberat 33,200 kilogram itu dianggarkan bernilai RM1.06 bilion.
Beliau berkata, dua kontena kapal dari Iran itu telah transit di Pelabuhan Klang dan sepatutnya bergerak menuju ke Sydney sebelum polis bertindak pantas dengan merampas kontena terbabit.
“Maklumat awal mendedahkan kontena-kontena ini didaftarkan untuk membawa bahan-bahan memproses barangan kosmetik dan juga lilin yang dilabel sebagai ‘Paraffin Wax 3-5%’.
“Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 166 juta penagih dan pengguna dadah,” katanya hari ini.
Mat Zani berkata, hasil operasi tersebut, pihak JSJN Bukit Aman bersama AFP berjaya menumpaskan satu cubaan penyeludupan dadah jenis Methamphetamine untuk pasaran antarabangsa.
Dalam pada itu, katanya, PDRM bersama AFP dan ‘counterpart’ yang lain sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti ahli sindiket atau organisasi antarabangsa yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara ini.
Katanya, JSJN fokus untuk memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan anda melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – Edisi 9

