Wednesday, July 22, 2026

Persenda agama: Pemimpin jangan jadi pencetus perbalahan

Saya menyeru semua pemimpin politik dan masyarakat memainkan peranan menyatukan dan meredakan kemarahan rakyat - Wan Rosdy

Mesti Baca

PARA pemimpin politik dan masyarakat tidak seharusnya menjadi pencetus api perbalahan berhubung tiga penyampai radio yang didakwa mempersenda upacara keagamaan bukan Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka sepatutnya menjadi pendamai dengan memainkan peranan menyatukan dan meredakan kemarahan rakyat.

Malahan, kata Menteri Besar Pahang itu, beliau berpandangan pimpinan di peringkat Pusat perlu menjadi orang tengah bagi mempertemu dan mendamaikan pihak-pihak berkenaan.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pemimpin politik dan masyarakat di pelbagai peringkat, untuk memainkan peranan masing-masing dengan tujuan menyatukan dan meredakan kemarahan rakyat.

“Pemimpin jangan sesekali menjadi pencetus, mahupun menjadi api yang boleh menjadi punca perbalahan.

“Malah, saya berpandangan pimpinan di peringkat Pusat perlu menjadi orang tengah bagi mempertemu dan mendamaikan pihak-pihak berkenaan.

“Tindakan yang sewajarnya harus diambil pihak berkuasa dengan niat sekadar memberi pengajaran kepada pelaku, bukan menghukum demi memberi kepuasan kepada sesetengah pihak yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, selama Malaysia wujud, perselisihan dan salah faham dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama kerap dan seringkali berlaku dan kemuncaknya berlaku tragedi 13 Mei 1969.

Katanya, mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, kerajaan terdahulu telah mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan perpaduan kaum diperkukuh di negara ini.

“Ini berlangsung dengan baik sehinggalah ketidakstabilan politik membuatkan isu perkauman dan agama mula menjadi isu terbuka diperkatakan masyarakat umum,”katanya.

Katanya, beliau tidak mahu perbalahan tersebut mencapai tahap di mana setiap pihak menanti satu pihak yang lain untuk melakukan kesilapan, demi untuk mengembalikan paku buah keras masing-masing.

Tegas beliau, dalam usia 68 tahun, negara harus segera bebas daripada isu pertelingkahan kaum dan agama yang tidak berkesudahan sebaliknya menumpukan kepada pencapaian negara dan rakyatnya dalam pelbagai bidang.

Sebelum ini, tiga penyampai sebuah stesen radio swasta digantung tugas kerana didakwa mempersenda upacara agama bukan Islam menerusi satu rakaman video yang tular dalam media sosial.

Ekoran itu, beberapa pemimpin politik dan masyarakat mengeluarkan kenyataan keras dan mendesak pihak berkuasa mengheret mereka ke muka pengadilan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan