Friday, June 5, 2026

UMNO tiada kaitan dengan siasatan kes Ismail Sabri

Tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang sengaja mencipta persepsi bahawa UMNO ada hubungan dengan kes yang sedang disiasat

Mesti Baca

UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengaitkan, menuduh dan mencipta persepsi bahawa UMNO mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas dan adil tanpa gangguan.

“UMNO memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti ini dengan siasatan SPRM yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu.

“UMNO menegaskan bahawa parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan.

“UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengaitkan, menuduh atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan tiga perenggan hari ini.

Sebelum ini empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri ditahan SPRM serta disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ekoran siasatan tersebut, pihak SPRM telah merampas wang tunai dalam pelbagai matawang asing berjumlah RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta daripada sebuah kondominium yang dijadikan safehouse.

Ekoran itu, bekas Naib Presiden UMNO itu diarah untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024 lalu.

Dalam sidang media kemudiannya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Ahli Parlimen Bera itu adalah suspek kes tersebut dan bukannya sebagai saksi.

Menurut SPRM, siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara. 

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos 2021 selepas peletakan jawatan Perdana Menteri Ketujuh, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah beliau hilang sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen.

Sepanjang menerajui negara sehingga pembubaran Parlimen pada November 2022, beliau memperkenalkan slogan “Keluarga Malaysia” sebagai gagasan pentadbirannya.

Sebelum ini, Datuk Dr Akmal Saleh turut dikaitkan dengan kes tersebut dengan mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu menerima dana sebanyak RM10 juta daripada Ismail Sabri.

Ekoran itu, Dr Akmal telah bertindak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang cuba mengaitkan nama beliau dalam kes tersebut. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan