Friday, June 5, 2026

Ismail Sabri adalah suspek, bukan sebagai saksi – Azam

Berhubung penemuan wang tunai pelbagai matawang asing bernilai RM170 juta dan jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung penemuan wang tunai dan jongkong emas berjumlah lebih RM177 juta sebelum ini sebagai seorang suspek, bukan saksi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ini berdasarkan bukti wang tunai yang ditemukan adalah terkait dengan Ismail Sabri.

“Dalam hal ini, saya boleh katakan beliau adalah seorang suspek. Ini kerana beliau telah diarah membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009. 

“Kedua, bila terjumpa wang-wang ini, beliau (Ismail Sabri) antara yang dikaitkan, jadi kita perlu dapatkan penjelasan daripada beliau mengenai penemuan wang ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini.

Ditanya sama ada siasatan ke atas Ahli Parlimen Bera itu bermotif politik, Azam menegaskan, siasatan itu dilakukan secara telus dan bukan atas arahan daripada mana-mana pihak.

“Saya tanya anda semula (wartawan), adakah anda rasa siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri ini bermotif politik?

“Saya tidak rasa begitu. Saya kekal dengan prinsip menyiasat dengan profesional dan telus tanpa mengambil kira sebarang darjat atau kedudukan.

“Tiada arahan daripada mana-mana pihak. Kita buat siasatan berdasarkan maklumat dan laporan yang kita terima,” katanya.

Semalam, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggar bernilai RM7 juta.

Ia berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

Rampasan dilakukan ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah premis yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safehouse’.

SPRM memberitahu, sebelum itu pada 11 Disember lalu, Ismail Sabri diarah mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan ia telah dilakukan Ismail Sabri secara rasmi pada 10 Februari lalu.

Siasatan itu menurut SPRM adalah tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara. 

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos 2021 selepas ahli-ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sepanjang menerajui negara sehingga pembubaran Parlimen pada November 2022, beliau memperkenalkan slogan “Keluarga Malaysia” sebagai gagasan pentadbirannya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan