
SEJARAH aplikasi janji temu dalam talian bermula pada tahun 1990-an dengan kewujudan laman web seperti Match.com yang dilancarkan pada tahun 1995.
Ia menjadi platform awal bagi individu mencari pasangan secara maya. Pada awal 2000-an, lebih banyak platform seperti eHarmony dan OkCupid muncul dengan algoritma yang lebih canggih untuk ‘menjodohkan’ pengguna berdasarkan minat dan personaliti.
Era aplikasi mudah alih pula bermula dengan pelancaran Tinder pada tahun 2012, yang memperkenalkan konsep swipe untuk memilih pasangan secara intuitif.
Kejayaan ini membuka ruang kepada banyak aplikasi lain seperti Grindr, Bumble, dan Omi, yang mensasarkan pelbagai segmen pengguna.
Kini, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penapisan geolokasi semakin digunakan untuk meningkatkan pengalaman pengguna dalam aplikasi janji temu.
Aplikasi janji temu juga telah menjadi pilihan kebanyakan pengguna internet dewasa kerana ia menawarkan cara pantas untuk bertemu pasangan.
Namun di sebalik janji-janji manis, aplikasi ini turut menjadi lubuk penipuan, eksploitasi dan ancaman keselamatan bagi pengguna yang tidak berwaspada.
Persoalannya, adakah kita terlalu bebas membiarkan aplikasi seperti ini berkembang tanpa pengawasan ketat atau sudah tiba masanya untuk intervensi lebih tegas?
Di Malaysia, tiada kawalan langsung terhadap aplikasi janji temu di Google Play dan Apple Store. Walaupun pemantauan kandungan tidak bermoral dijalankan namun ia masih terlalu longgar.
Ini memberi ruang kepada eksploitasi, termasuk kes penipuan cinta dalam talian yang semakin meningkat.
Statistik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan antara 2019 hingga 2022, sebanyak 11,092 kes penipuan cinta dilaporkan dengan kerugian mencecah RM1.6 bilion.
Ini membuktikan bahawa aplikasi janji temu seperti ini, jika tidak dikawal, menjadi alat manipulasi emosi dan kewangan.
Lebih membimbangkan, aplikasi ini turut disalahgunakan bagi tujuan perdagangan manusia, pemerdagangan seksual, dan penyebaran kandungan tidak bermoral.
Namun, masih tiada dasar konkrit yang menuntut aplikasi ini melaksanakan kawalan keselamatan ketat sebelum membenarkan pengguna mendaftar.
Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, individu yang kehilangan pasangan cenderung mencari teman, sekali gus menjadikan mereka amat mudah untuk dimanipulasi.

“Ini mengukuhkan hujah bahawa kita memerlukan satu sistem yang bukan sahaja membendung risiko penipuan tetapi juga memastikan kesejahteraan psikologi pengguna.
“Pendekatan semasa yang hanya bergantung kepada kempen kesedaran awam tidak mencukupi.
“Kempen sahaja tidak akan menghalang penipu daripada terus beroperasi dalam ekosistem yang longgar kawalannya. Tanpa mekanisme kawalan yang kukuh, mangsa tetap berisiko menjadi sasaran,” tegas beliau.
Malah katanya, kebanyakan aplikasi sedemikian masih membenarkan pengguna menggunakan identiti palsu tanpa sebarang bentuk verifikasi ketat.
Lebih mengecewakan, jelas beliau, tiada tindakan tegas yang diambil terhadap pemilik aplikasi yang gagal menyediakan ciri keselamatan mencukupi.
“Dasar sedia ada hanya memberi tekanan kepada pengguna untuk lebih berhati-hati, sedangkan syarikat aplikasi ini menikmati keuntungan besar tanpa sebarang tanggungjawab sosial yang ketara,” katanya.
Selain kesan kewangan, psikologi mangsa turut terjejas. Kajian menunjukkan bahawa individu yang terjebak dalam penipuan janji temu dalam talian mengalami tekanan emosi yang mendalam, gangguan kecemasan, dan kehilangan kepercayaan terhadap hubungan sosial.
Pakar Psikologi Klinikal, Dr. Firdaus Abdul Ghani berkata, individu yang terpedaya berkemungkinan besar mengalami gangguan psikologi seperti sukar tidur, kurang selera makan, tekanan, kebimbangan yang ketara serta mengalami gejala kemurungan.

“Aplikasi janji temu juga telah mencetuskan budaya hubungan kasual yang menghakis nilai kesetiaan dan komitmen dalam masyarakat.
“Ia mencipta ilusi pilihan tanpa had tetapi realitinya, pengguna sering berdepan dengan kekecewaan, ketidakpastian dan interaksi yang tidak tulus,” katanya kepada Edisi 9 ketika dihubungi.
Dalam pada itu CyberSecurity Malaysia berkata, pengawalan aplikasi janji temu perlu lebih ketat dengan memastikan platform tersebut dilengkapi sistem keselamatan yang boleh mengesan ancaman dalam talian sejak awal.
“Kerajaan perlu menggesa syarikat aplikasi janji temu untuk mewajibkan pengesahan identiti menggunakan dokumen rasmi atau pengecaman wajah.
“Ada pihak mencadangkan bahawa aplikasi ini harus mematuhi rangka kerja perundangan yang lebih tegas bagi memastikan pengguna tidak mudah menjadi mangsa eksploitasi.
“Ini akan mengurangkan kebarangkalian penyalahgunaan identiti dan penipuan,” kata sumber CyberSecurity Malaysia.
Katanya, setiap aplikasi perlu mempunyai algoritma pemantauan yang mampu mengesan tingkah laku mencurigakan dan menyekat akaun yang terlibat dalam aktiviti haram atau pemerdagangan manusia.
Aplikasi itu juga harus mempunyai sistem amaran awal yang mengesan aktiviti mencurigakan serta menyediakan talian bantuan psikologi kepada mangsa yang mengalami trauma akibat penipuan dalam talian.

Justeru, kerajaan harus memperkenalkan dasar yang mewajibkan aplikasi janji temu bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna.
Jika terbukti bahawa mereka gagal melindungi pengguna, mereka harus dikenakan tindakan undang-undang atau sekatan operasi.
Kempen kesedaran perlu lebih agresif, bukan sekadar memberi amaran tetapi mendidik pengguna tentang teknik penipuan yang digunakan dalam aplikasi ini.
Pendidikan digital di sekolah dan universiti juga boleh membantu membina generasi yang lebih celik teknologi dan berwaspada terhadap ancaman dalam talian.
Aplikasi janji temu boleh menjadi alat yang baik jika digunakan dengan bijak dan dikawal dengan rapi. Namun, pendekatan longgar yang diamalkan kini hanya membuka ruang kepada lebih banyak eksploitasi dan jenayah siber.
Kita tidak boleh sekadar berharap kepada kesedaran pengguna semata-mata, sebaliknya, perlu menuntut regulasi yang lebih ketat dan penglibatan serius daripada kerajaan serta syarikat teknologi.
Jika kita gagal bertindak sekarang, kita hanya akan membiarkan lebih ramai mangsa jatuh ke dalam perangkap penipuan dan manipulasi digital.
Soalnya, adakah kita sanggup melihat generasi akan datang terus menjadi mangsa kerana kegagalan kita mengawal teknologi ini? Jawapannya terletak pada tindakan kita hari ini. – Edisi 9

