MALAYSIA yang memimpin ASEAN pada tahun ini membawa tekad untuk memperkukuh kesatuan dan membawa kemajuan kepada rantau ini.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr. Mohd Faiz Abdullah berkata, kepimpinan negara ini akan menjadi kunci kepada usaha memastikan ASEAN kekal relevan di pentas dunia.
“Malaysia harus menunjukkan kepimpinan yang tegas dan jelas untuk memastikan ASEAN menjadi kekuatan stabil dan motor kemajuan bagi rantau ini,” kata beliau mengulas tentang kepentingan Malaysia dalam ASEAN kali ini.
Malaysia bercadang untuk meningkatkan hubungan antara negara ASEAN dengan memperbaiki infrastruktur, menyelaraskan peraturan, dan memudahkan prosedur perdagangan antara negara anggota.
Sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta inovasi juga akan diberi keutamaan bagi memacu perdagangan dalam ASEAN.

Dalam masa yang sama, Malaysia komited untuk memastikan ASEAN kekal bersatu di tengah-tengah persaingan kuasa besar dunia.
“Pendekatan kita mesti berpandukan undang-undang antarabangsa seperti UNCLOS 1982 bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian serantau,” tambah beliau.
Mohd Faiz turut menekankan potensi besar ASEAN, yang dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2030, dipacu oleh populasi mudanya yang aktif.
Katanya, Malaysia akan memanfaatkan peluang ini dengan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja, transformasi digital, dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“ASEAN memiliki kelebihan demografi yang unik, dan kita mesti melabur dalam modal insan untuk memastikan kita memanfaatkan sepenuhnya potensi ini,” ujar beliau.
Di samping itu, isu-isu besar seperti konflik di Laut China Selatan dan krisis di Myanmar akan ditangani dengan pendekatan yang inklusif dan berhemah.
Beliau berkata, Malaysia percaya bahawa dialog yang membina adalah kunci untuk mencapai kestabilan dan keharmonian jangka panjang.
“Kita perlu bijak mengimbangi kepentingan semua pihak dalam ASEAN tanpa tunduk kepada tekanan kuasa besar,” katanya lagi.
Mohd Faiz optimis bahawa dengan kepimpinan yang tegas dan visi yang jelas, Malaysia mampu memimpin ASEAN ke arah masa depan yang lebih cerah, bersatu, dan maju.
“Inilah masanya untuk ASEAN tampil sebagai kuasa penting di dunia, dan Malaysia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut,” katanya. – Edisi 9

