PEMUDA UMNO hilang sabar dengan gelagat segelintir masyarakat yang berarak sambil mengibarkan bendera negeri China di Teluk Intan, Perak.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, jika sebelum ini Pemuda UMNO masih sabar apabila bendera China dikibarkan di sekolah, kali ini mereka tidak boleh lagi bersabar.
Sehubungan itu, beliau berkata, seluruh Pergerakan Pemuda UMNO di negeri Perak akan membuat laporan polis terhadap penganjur dan menggesa siasatan dilakukan ke atas mereka.
“Apa kejadahnya ni? Sebelum ni bendera China dikibarkan dalam sekolah, kali ni bendera China dibawa berarak di atas jalan pula? Dah buat, baru minta maaf!
“Hari ni seluruh Pergerakan Pemuda UMNO negeri Perak akan membuat satu laporan polis ke atas penganjur ini dan kita minta pihak polis untuk buat siasatan dan mereka ini didakwa dan dikenakan hukuman yang berat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.
“Cukup-cukuplah kita sahaja yang perlu bersabar!,” katanya dalam nada kesal menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas satu rakaman video tular yang memaparkan sekumpulan individu berarak di hadapan Menara Condong, Teluk Intan sambil mengibarkan bendera negara China.
Akmal berkata, beliau kesal dengan gelagat kumpulan terbabit yang beliau percaya perhimpunan tersebut tidak mempunyai permit dan tiada langsung bendera Malaysia diarak bersama.
Sebelum ini, sebuah sekolah di Pulau Pinang menjadi perhatian apabila dua keping gambar yang tular menunjukkan sekumpulan pelajar mengibarkan bendera negara China.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendakwa pelajar yang mengibarkan bendera China merupakan pelajar dari negara ini.
Katanya, semasa majlis tersebut terdapat pelajar lain yang turut mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Pulau Pinang.
Sementara itu FMT yang memetik kenyataan Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua dilaporkan berkata, bendera China dikibarkan oleh rombongan rakyat negara itu semasa Guan Gong Sedunia, semalam.
Sehubungan itu, Boon Hua memohon maaf atas insiden tersebut dan mendakwa tindakan mengibarkan bendera negara asing sama sekali tiada dalam perancangan mereka. – Edisi 9

