SEORANG kru vesel nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut semasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan veselnya di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah, malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 telah mengesan vesel berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, rentetan itu, bot ronda Maritim Malaysia merapati vesel terbabit kerana mengesyaki sedang melakukan aktiviti menangguk siput.
Bagaimanapun, katanya, vesel tersebut bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah perairan negeri Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Semasa aksi kejar buru, seorang kru vesel disyaki telah bertindak terjun ke laut setelah vesel berkenaan ditahan dan disoal siasat,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Noor Azreyanti berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan operasi carilamat manakala bot ronda Maritim Malaysia telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut.
“Usaha mengesan mangsa turut disertai oleh agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan beberapa vesel nelayan tempatan setempat.
“Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan orang awam yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),”katanya.
Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – Edisi 9

