JEMAAH Menteri bersetuju dengan cadangan dasar dan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dibentang pada sesi mesyuarat Parlimen kali ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kedua-dua akta tersebut berhubung dengan kesalahan-kesalahan jenayah dalam talian berkaitan akaun keldai (mule account) dan prosedur berkaitan.
Beliau berkata, cadangan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 ini melibatkan pengenalan peruntukan khusus berkaitan dengan penggunaan mule account.
“Cadangan pindaan ini antara lain, akan memperuntukkan kesalahan sekiranya mana-mana orang tanpa kuasa ataupun tujuan yang sah didapati memiliki instrumen pembayaran orang lain serta memperuntukkan juga kesalahan sekiranya mana-mana orang tanpa kuasa ataupun tujuan yang sah membenarkan instrumen pembayarannya digunakan oleh orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata, cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan [Akta 574) adalah diperlukan pada masa kini bagi memastikan ia selari dengan kepantasan perkembangan dan kecanggihan teknologi pada ketika ini.
Beliau berkata, ini terutamanya yang sering digunakan dan disalah guna oleh para penjenayah.
Manakala, bagi cadangan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 pula, tambah beliau, akan memperkenalkan peruntukan baharu yang bersifat prosedur dengan memberikan kuasa sitaan kepada pihak polis untuk mengarahkan penyitaan wang di dalam akaun bank yang disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah dan perkara berkaitan.
“Dalam hubungan ini, pengenalan peruntukan undang-undang khusus yang lebih efektif akan membantu agensi penguatkuasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berharap usaha tersebut dapat sokongan semua ahli parlimen kedua-dua pihak dalam memastikan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat negara ini adalah terjamin. – Edisi 9

