PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah menzahirkan ucapan tahniah atas pemilihan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Dewan Rakyat, pagi ini.
Beliau turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas pemilihan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya selaku Ketua Majlis Parlimen Kelima Belas bagi pihak Dewan yang mulia ini dengan sepenuh ikhlas ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII (Ke-17).
“Saya juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia Dewan ini turut dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Sultan Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan atas pemilihan Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong,”katanya menerusi kenyataan khas hari ini.
Perdana Menteri yang baru pulang dari Singapura, semalam bagi menghadiri Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 di republik itu berkata demikian bagi mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia yang berkongsi kegembiraan atas pemilihan baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya yakin kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan yang bertambah daripada pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara.
“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan. Daulat Tuanku,”ujar Anwar.
Sultan Ibrahim akan menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari tahun depan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang melengkapkan tempoh lima tahun pemerintahan baginda pada 30 Januari 2024.
Pemilihan kedua-dua baginda tuanku dibuat pada Mesyuarat Raja-Raja dalam Mesyuaratnya Yang Ke-263 (Khas) pada Jumaat 27 Oktober lalu. – Edisi 9

