SEORANG remaja perempuan didakwa menampar muka rakan sekelasnya kerana memuat naik gambar mengaibkan dirinya di platform TikTok, kelmarin.
Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, Mohd. Zaid Hassan berkata, video kejadian tular di media sosial yang memaparkan insiden pelajar berkenaan mengasari rakan sekelasnya.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut yang dibuat oleh salah seorang pelajar berusia 17 tahun yang terlibat dalam kejadian.
“Hasil siasatan, kejadian berlaku kelmarin semasa salah seorang pelajar dalam video berkenaan berada di dalam kelas, telah melihat satu hantaran gambar di akaun Tiktok miliknya yang mengaiban dirinya.
“Video tersebut dikatakan ditular rakan sekelas. Oleh itu, pelajar itu telah berjumpa rakan tersebut dan bertindak menampar rakan sebanyak lima kali sambil bertanya mengapa gambarnya ada di telefon milik rakannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd. Zaid berkata, sebaliknya, rakannya berkata gambar tersebut diambil sendiri saspek menggunakan telefon milik rakan.
Akibat sangat marah katanya, pelajar tersebut telah menampar muka rakannya itu yang dikatakan telah menjatuhkan maruahnya.
“Suspek telah tampil ke balai untuk membuat laporan polis sebagai laporan perlindungan diri berhubung kejadian tersebut.
“Mangsa dalam kes ini juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian hari ini. Kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Sesiapa yang ada maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-998 5730 bagi membantu siasatan,” katanya. – Edisi 9