PADANG BESAR – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, maut akibat ditembak, dalam satu kejadian berbalas tembak dengan penyeludup daun ketum, awal pagi ini.
Kejadian pada pukul 3.10 pagi itu membabitkan mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.
Lapor Bangkok Post, kejadian berlaku di daerah Sadao, Thailand yang bersempadan dengan Padang Besar.
Dua penyeludup berjaya ditahan pihak berkuasa Malaysia manakala tiga lagi penjenayah cedera dan berjaya melarikan diri ke sempadan.
Namun mereka ditahan polis Thailand tidak lama kemudian.
Kata laporan itu, anggota polis Malaysia yang meronda terserempak 13 lelaki dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 2 pagi dekat sempadan bertentangan dengan Kampung Talor, Sadao.
Polis kemudiannya menghampiri kumpulan itu untuk menyiasat sekali gus tercetusnya kejadian berbalas tembak.
Ini mengakibatkan mendiang Baharudin meninggal dunia manakala Norihan cedera.
Bagaimanapun tiga penyeludup cedera dan melarikan diri ke sempadan dan ditahan tidak lama kemudian.
Mereka yang cedera merupakan warga Thailand dikenali sebagai Sanchai Madsuwan, Arun Madsuwan dan Rachen Anumarn.
Sanchai dilapor cedera parah akibat terkena tembakan dan ketiga-tiga suspek dirawat di Hospital Hat Yai.
Pasukan tentera, polis sempadan dan pegawai tempatan Thailand hari ini memeriksa lokasi pertempuran.
Dipercayai penyeludup merupakan warga Thailand Dan Malaysia.
Mereka menyeludup daun ketum ke Thailand.
Seorang suspek yang cedera, Rachen dibawa ke lokasi kejadian bagi mengenalpasti lokasi pertempuran dan laluan digunakan penyeludup.
Menurut sumber, polis Malaysia menahan dua penyeludup warga Thailand.
Seorang suspek dikenali sebagai Sahamadyusob Talah, 38, penduduk mukim Ban Khuan daerah Muang dekat Songkhla.
Seorang lagi suspek tidak dinamakan.
Pihak keselamatan Thailand melakukan kerjasama dengan pegawai dari Malaysia berikutan kejadian itu. – Agensi