YANG di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku memaklumkan akaun Telegram miliknya telah digodam pihak yang tidak bertanggungjawab sejak beberapa hari lalu.
Wan Junaidi berkata, ia merupakan perkara yang serius dan beliau telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan ataupun mesej yang mengakui diri dan menyamar sebagai Tan Sri Wan Junaidi.
“Ini terutamanya jika ada perkara yang melibatkan kewangan atau temu janji untuk berjumpa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sesiapa yang menerima mesej atau panggilan, boleh menghubungi pejabatnya di talian 03-2601 7610 untuk pengesahan lanjut.
“Saya amat kesal dengan tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini dan berharap agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan penipuan sebegini.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan turt melaporkan tindakan penggodam-penggodam ini kepada pihak yang berkuasa,” katanya. – Edisi 9

