KELANTAN bakal mendapat menteri besar dan timbalan menteri besar baharu sekiranya Pas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikan presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Terengganu, semalam.
Selain itu, Pas akan mengekalkan Menteri Besar Terengganu dan Kedah, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan daripada Sultan kedua-dua Negeri.
“Perubahan gabungan menteri besar dan timbalan menteri besar sekarang bagi Negeri Kelantan dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu.
“Beliau adalah seorang tokoh agamawan dan seorang teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Sultan Kelantan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, Pas berharap pengundi turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing di negeri-negeri terlibat.
“Pas dengan menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada esok dengan memilih pemimpin yang prihatin, bersih dan berkebajikan serta berharap proses pilihan raya di enam negeri berjalan dengan aman dan lancar,” katanya. – Edisi 9