SKUAD hoki negara menempah pertemuan dengan Korea Selatan untuk aksi separuh akhir kejohanan hoki Trofi Juara Juara Asia (ACT) selepas mengakhiri saingan kumpulan di tempat kedua.
Pada aksi di Stadium Mayor Radhakrishnan, Tamil Nadu, India semalam, skuad Speedy Tigers berjaya menewaskan lawan sama, 1-0 hasil jaringan tunggal Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-22.
Pada aksi yang penuh mencabar itu, Muhajir Abdul Rauf dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Perlawanan selepas mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang aksi menentang Korea Selatan.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua kumpulan di belakang India selepas mengutip 12 mata, hasil daripada empat kemenangan dan satu kekalahan.
Skuad kendalian Arul Selvaraj itu membuka kempen ACT dengan bergaya apabila menundukkan Pakistan (3-1), disusuli China (5-1) dan Jepun (3-1) sebelum tunduk 0-5 kepada India.
Perlawanan separuh akhir menentang Korea Selatan yang muncul pasukan ketiga terbaik dalam kumpulan akan berlangsung esok. – Edisi 9