LANGKAH Pas untuk tidak membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan parti itu di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu kerana menyedari mereka memang bersalah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pas mengetahui bahawa mereka telah memberi rasuah kepada pengundi agar memilih parti itu sehingga membawa kemenangan besar kepada calonnya, Datuk Ahmad Amzad Hashim di Parlimen tersebut.
“Sebab tahu memang betul mereka membeli undi,” katanya ringkas menerusi twitternya bagi mengulas keputusan Pas untuk tidak membuat rayuan berhubung pembatalan kemenangan Ahmad Amzad.
Hari ini media melaporkan bahawa Pas tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Ahmad Amzad, calon Pas bagi Parlimen Kuala Terengganu sewaktu pilihan raya umum yang lepas.
Menurutnya, keputusan itu disahkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Pas Pusat yang sedang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Terengganu.
Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata, pihak pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Berikutan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menunggu Perakuan Hakim Pilihan Raya untuk mewartakan kekosongan kerusi dan mengadakan pilihan raya.
Pada 3 Januari lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi Kual Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilapor berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lepas, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir. – Edisi 9

