JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan seramai 68 orang warga asing dalam satu Operasi Khas “Ops Gelombang 3” yang dilaksanakan di Terminal Bas Kota Bahru, Kelantan pada 14 Jun lalu.
Operasi berkenaan yang bermula pada jam 3.30 pagi itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan JIM Negeri Kelantan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi ini adalah rentetan kejayaan “Ops Gelombang 2” yang telah dijalankan pada bulan Mac 2023 yang lalu.
Menurutnya, semasa operasi berkenaan, pasukan operasi telah berjaya menahan seramai 68 orang pendatang tanpa izin (PATI) berumur antara 10 sehingga 62 tahun dipercayai cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.
“Pecahan mengikut warganegara adalah Myanmar (16 lelaki dan 5 perempuan) Pakistan (02 lelaki), Bangladesh (03 lelaki), Indonesia (10 lelaki), Vietnam (01 lelaki dan 05 perempuan) dan India (11 lelaki, 14 perempuan dan 01 kanak-kanak lelaki).
“Mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran dan kemudian dipindahkan ke sekitar Terminal Bas Kota Bahru.
“Turut ditahan dalam operasi ini, seramai tiga orang lelaki warga tempatan disyaki berperanan sebagai transporter bagi sindiket ini,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan selama dua bulan mendapati modus operandi sindiket adalah menyeludup PATI melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
“Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu ke luar Kelantan dan sekitar Lembah Klang.
“Daripada siasatan lanjut mendapati, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM 6000 hingga RM 7000 bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini dan dipercayai telah aktif sejak enam bulan yang lalu.
“Manakala transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas berkenaan,”katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
“Manakala tiga orang lelaki tempatan telah dihadapkan ke mahkamah dan di reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,”katanya.
Beliau berkata, susulan operasi ini sebanyak tiga buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM50,000 turut disita untuk tindakan lanjut jabatan. – Edisi 9

