PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuatkuasa 23 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan Ayob Khan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan Ayob Khan.
“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini.,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ayob Khan, 57, dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.
Merupakan pelajar lulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Ayob Khan memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.
Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada 2016.
Ayob Khan berkhidmat selama empat tahun dan telah dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis pada 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.
Pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. – Edisi 9

