PENGIMPORTAN sisa elektronik (e-sisa) akan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuatkuasa hari ini.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Sisa Dalam Negara Bil. 2/2026, selaras usaha memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, keputusan itu memerlukan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan.
“E-sisa tidak lagi dibenarkan dan perlu buat penguatkuasaan tegas membabitkan semua agensi.
“Justeru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah untuk mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meletakkan e-sisa di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat yang diterajui oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, e-sisa disenaraikan di bawah Larangan Bersyarat Kecuali Mengikut Cara Yang Diperuntukkan di bawah Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Di bawah peraturan itu, Ketua Pengarah JAS masih mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian terhadap pengimportan sisa terlarang tertakluk kepada syarat tertentu.
Perkata itu turut dinyatakan di dalam peruntukan Seksyen 34(B) Akta Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, mesyuarat turut memutuskan supaya penyelarasan dan penguatkuasaan berkaitan e-sisa diperkukuhkan melalui penubuhan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, dalam masa terdekat.
“Hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan perlu dilaporkan kepada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Sisa Dalam Negara dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan sisa itu lebih sistematik dan berkesan.
Dalam pada itu, Azam berkata, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium selama tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik, selaras dengan perbincangan dan arahan bersama Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Walau bagaimanapun, katanya, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) perlu mengemukakan data terperinci untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri mengenai sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi dan pendapatan negara serta keperluan industri bagi menilai kesesuaian pelaksanaan moratorium itu.
Sebelum ini SPRM menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua JAS bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu e-sisa.
Kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 6.30 petang pada 29 Januari lalu selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Azam yang kemudian mengesahkan penahanan berkenaan berkata, kedua-dua mereka disiasat di bawah Akta SPRM 2009. — Edisi 9

