SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa semua pihak agar tidak berkongsi menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan berkaitan kes pelajar perempuan ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya kelmarin.
MCMC dalam kenyataan berkata, ini termasuk gamabr atau video yang memaparkan mangsa, suspek, pelajar lain atau lokasi kejadian.
Tegas MCMC, sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya.
“Perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata kenyataan itu, semalam.
Dalam kejadian kelmarin, seorang pelajar perempuan 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh seorang pelajar lelaki.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu, berlaku di luar bilik darjah berhampiran kawasan tandas perempuan.
Susulan itu, tular gambar-gambar suspek, mangsa dan tempat kejadian menerusi media sosial sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan warga net.
MCMC turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. — Edisi 9

