SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS), dalam satu operasi bersepadu di ibu negara baru-baru ini.
Dalam Ops Pancing itu, seorang individu ditahan ketika sedang mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran sebuah pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.
“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Susulan tangkapan itu, pihak MCMC dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam.
Kediaman tersebut dipercayai dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.
Siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut telah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih.
“Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000. Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” kata MCMC.
Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak satu RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes ini juga disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. — Edisi 9

