SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan agar menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menpertahankan hak warga asing berhubung isu penyasaean subsidi petrol RON95.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, tindakan sewajarnya perlu diambil berhubung perkara berkenaan memandangkan dakwaan itu dinafikan bekas Perdana Menteri.
“Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum kenyataan penafian Ahli Parlimen Pagoh terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
“Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana Menteri mengarahkan MCMC untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan itu hari ini.
Berikutan itu MCMC berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media tersebut dan akan mengambil tindakan segera dan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
“MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih,” kata MCMC dalam kenyataan berasingan.
Semalam, Muhyiddin menafikan tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bahawa beliau mempertahankan orang asing dalam isu RON95.
Antara lain Perdana Menteri dilapor berkata: “Saya dengar ada juga Ahli Parlimen yang pertahankan orang asing.
“Pagoh kata kenapa bebankan orang asing kerana orang asing pun ada sumbangan kepada negara.”
Sehubungan itu, Muhyiddin menafikan sekeras-keras tuduhan tersebut kerana beliau mendakwa tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian sama ada dalam bentuk kenyataan media, sidang media atau menjawab pertanyaan wartawan.
“Saya mencabar Perdana Menteri supaya mengemukakan bukti sumber kenyataan saya itu.
“Tuduhan Perdana Menteri jelas merupakan satu pembohongan di Dewan Rakyat,” katanya. — Edisi 9

