SEKOLAH Kebangsaan (SK) Pasir Puteh, Keningau, Sabah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah rendah pertama di daerah ini yang melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) menggunakan modul khas untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 3.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Kementerian Komunikasi itu turut disertai Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang hadir menyaksikan pelaksanaan modul khas tersebut.
Seramai 120 orang murid berumur antara 7 hingga 9 tahun mengambil bahagian dalam program berkenaan yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman awal berkaitan penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Menurut Teo, pendekatan pendidikan literasi digital sejak di peringkat awal persekolahan adalah amat penting dalam mendepani cabaran dunia digital masa kini yang semakin kompleks.
“Modul ini bukan sahaja menerangkan fungsi Internet dan aplikasi digital, malah memberi pendedahan mengenai bahaya seperti buli siber, pengantunan (grooming) serta risiko penggunaan media sosial yang tidak terkawal,” katanya.
Tambah beliau, murid turut diberi maklumat berkaitan had umur minimum bagi memiliki akaun media sosial iaitu 13 tahun ke atas, sejajar dengan garis panduan platform digital utama.
Kempen ini turut menggalakkan murid untuk meneroka aktiviti alternatif yang lebih positif di luar talian serta membentuk tabiat penggunaan teknologi secara beretika dan bijak.
KIS di SK Pasir Puteh merupakan kesinambungan program yang telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dan menjadi platform penting dalam usaha kerajaan membentuk budaya penggunaan Internet yang positif dalam kalangan generasi muda.
MCMC dalam kenyataannya turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan ini akan memberi kesan jangka panjang kepada pembentukan sahsiah digital anak-anak seawal usia persekolahan. — Edisi 9

