Tuesday, July 21, 2026

Pembelajaran imersif: Dari papan hitam ke ruang siber

Mesti Baca

Oleh DR NOR NAZRINA MOHAMAD NAZRY

SEJAK dahulu, dalam perkembangan lanskap pendidikan, papan hitam dan kapur tulis sememangnya menjadi simbol kepada pengajaran tradisional.

Namun hari ini, sesetengah sekolah di Malaysia aktif dalam melaksanakan transformasi digital di mana sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) bukan sahaja menggunakan tangkap layar yang besar, malah dilakukan dalam persekitaran pembelajaran imersif.

Semestinya perkembangan ini menjanjikan kebaikan kepada penggunanya. Namun walau bagaimanapun, ia masih perlu dikaji dan dinilai terutamanya daripada konteks cabaran dan aspirasi negara kita.

Potensi pembelajaran imersif

Teknologi pembelajaran imersif seperti realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan persekitaran 360 darjah bukan sahaja menawarkan peluang untuk belajar sesuatu topik atau kandungan, malah membenarkan pelajar untuk mengalami dan merasai keadaan tersebut.

Cuba bayangkan, dalam subjek Sains Darjah 5, para pelajar menerokai sistem peredaran darah manusia dari dalam badan atau dalam subjek Sejarah Tingkatan 3, pelajar menyelusuri suasana tiga dimensi (3D) zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Persekitaran ini bukan fantasi, bukan sekadar imaginasi tetapi dapat direalisasikan melalui aplikasi persekitaran imersif.

Persekitaran ini membenarkan penglibatan lebih aktif para pelajar terutamanya pelajar-pelajar yang sukar memahami kandungan pembelajaran melalui buku (pembacaan) atau kuliah (lisan).

Sebenarnya, Malaysia telah mengambil langkah awal dalam pendidikan imersif. Pada tahun 2023, projek MetaSkool dilancarkan di negara kita.

Projek rintis ini hasil usahasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Virtualtech Frontier (VTF) yang merupakan syarikat pembangunan ruang maya dan metaverse, dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), salah satu universiti penyelidikan di negara kita.

Melalui projek ini, persekitaran pembelajaran berasaskan metaverse diperkenalkan di sembilan sekolah termasuklah di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat di Johor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah di Kedah.

Seramai 500 orang pelajar dan sembilan guru dijemput untuk menyertai projek rintis tersebut di mana mereka menjalani pengalaman praktikal dalam ruang kelas maya.

Projek ini dilihat memberi banyak kebaikan kepada pesertanya apabila mereka lebih fasih digital, membuka peluang ke arah pembelajaran kendiri dan juga melahirkan tenaga guru yang dinamik.

Tambahan lagi, perkembangan pembelajaran imersif dilihat selari dengan usaha kerajaan dalam memperkasa pendidikan digital.

Di bawah inisiatif #MyDigitalMaker, iaitu program kolaborasi antara MDEC dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan sejak Ogos 2016, lebih 1.3 juta pelajar dan 88,000 guru telah dilatih mempertingkatkan kompetensi digital mereka seperti kemahiran pengaturcaraan, reka bentuk kandungan digital dan perkomputeran.

Justeru, tahap dan perkembangan literasi digital dalam kalangan guru dan pelajar mencerminkan bahawa pendidikan di Malaysia telah bersedia ke arah pengalaman pembelajaran imersif dengan persekitaran bilik darjah yang lebih maju.

Matlamat pembelajaran imersif

Pembelajaran imersif bukan sekadar mengetengahkan teknologi terkini kepada generasi muda kita tetapi ia sebenarnya ke arah mencipta pengalaman pembelajaran yang bermakna, inklusif dan merentasi masa depan.

Negara kita mempunyai generasi yang berbakat dan kreatif dalam memperjuangkan serta mengembangkan transformasi ini.

Walau bagaimanapun, tanpa perancangan yang teliti dan capaian digital yang sama rata, berkemungkinan akan memperbesarkan lagi jurang digital antara sekolah — di mana ada sekolah yang mampu berinovasi dan ada sekolah yang tidak mampu, mereka cuma mampu melihat sahaja.

Sebagai pendidik, ahli teknologi mahupun pembuat dasar, kita haruslah bekerjasama untuk mengubah mimpi imersif yang ada kepada realiti inklusif — di mana setiap anak di Malaysia, sama ada di dalam kelas pintar di Lembah Klang atau di Kapit, Sarawak boleh bergerak dengan yakin dan jayanya daripada papan hitam kepada ruang siber.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan