Wednesday, July 22, 2026

MCMC turunkan 1,415 kandungan jelik libatkan kanak-kanak

Tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak adalah satu kesalahan serius mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti 1,501 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak sehingga 15 Jun lalu.

Menurut MCMC, daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 peratus atau 1,415 daripadanya telah diturunkan hasil kerjasama erat antara suruhanjaya itu dengan penyedia platform digital dan laporan awam.

Kenyataan itu berkata, pemantauan harian serta operasi bersasar seperti ‘Op Pedo’ yang dilaksanakan pada Disember tahun lalu turut menyaksikan penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) di beberapa negeri.

“MCMC dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) mempertegaskan komitmen berterusan membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian melalui tindakan penguatkuasaan agresif dan kempen kesedaran masyarakat.

“MCMC dan PDRM menegaskan, tindakan menyebar, menyimpan atau mengkomersialkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak adalah satu kesalahan serius mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan bersama MCMC dan PDRM hari ini.

Manakala sebarang bentuk penghasilan, perkongsian, jual beli atau pemilikan bahan berunsur penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak pula, tegas MCMC, merupakan kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, khususnya di bawah Seksyen 5 hingga 10.

Katanya, sebagai langkah pencegahan, MCMC turut memperkukuhkan pendekatan pendidikan menerusi Kempen Internet Selamat (KIS) yang menyasarkan pelajar, ibu bapa dan komuniti. 

“Antara mesej utama kempen ini termasuk larangan pemilikan akaun media sosial oleh kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah, selari dengan dasar keselamatan digital antarabangsa,” katanya.

MCMC dan PDRM turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin komuniti, penyedia platform serta pengguna Internet agar berganding bahu memerangi jenayah ini. 

Orang awam digesa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui e-mel [email protected]; portal aduan MCMC atau terus ke balai polis berhampiran.

“Setiap laporan boleh menyelamatkan mangsa serta membantu siasatan dan tindakan lebih pantas terhadap pemangsa,” jelas kenyataan itu.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan komprehensif bagi membendung jenayah eksploitasi seks membabitkna kanak-kanak yang dikatakan semakin membimbangkan.

Beliau berkata, setiap ancaman siber khususnya yang menyasarkan kanak-kanak perlu ditangani dengan tindakan tegas dan pantas tanpa sebarang kelengahan.

Seruan itu dibuat susulan pendedahan mengejut mengenai satu akaun media sosial yang berkongsi kandungan seksual membabitkan kanak-kanak sekolah rendah dan mempunyai 12,000 ahli. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan