SINDIKET yang giat mengiklankan perkhidmatan membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui media sosial kini menjadi sasaran utama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kegiatan licik itu bukan saja menyalahi undang-undang, malah mengancam keselamatan negara dan nyawa manusia.
“Sindiket ini sanggup mempertaruhkan nyawa warga asing demi keuntungan. Mereka guna laluan laut tidak sah dan langsung tidak peduli aspek keselamatan seperti jaket keselamatan atau pelampung.
“Ada juga yang membawa muatan melebihi kapasiti bot,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini tersebar beberapa rakaman video yang memaparkan tindakan sindiket penyeludupan PATI secara keluar masuk ke negara jiran menerusi media sosial.

Keadaan tersebut mencetuskan kebimbangan orang awam berhubung tahap keselamatan sempadan negara ekoran kegiatab tersebut yang dilihat semakin berluasa.
Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia akan terus memantau rapat kandungan akaun media sosial yang mengiklankan perkhidmatan haram itu dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akaun terlibat.
“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih agresif. Operasi rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara akan terus ditingkatkan,” katanya lagi.
Antara langkah yang sedang digiatkan termasuk pemantauan udara menggunakan pesawat Maritim Malaysia dan pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan bot-bot mencurigakan.
Beliau memberitahu, sepanjang 2024, sebanyak 68 cubaan penyeludupan PATI berjaya dipatahkan, melibatkan 236 individu dari pelbagai negara.
Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan, penduduk pesisir dan orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, serta segera menyalurkan maklumat ke talian kecemasan 999 atau ke pusat operasi Maritim Malaysia terdekat. — Edisi 9

