Tuesday, July 21, 2026

Agihan kerusi kekal ikut prinsip parti yang menang – Asyraf Wajdi

Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi akan ditentukan oleh kedua-dua Pengerusi PH dan BN. 

Mesti Baca

PENGAGIHAN kerusi antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan kekal berdasarkan prinsip asas yang disepakati antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, di bawah prinsip tersebut mana-mana kerusi yang dimenangi akan kekal dengan parti berkenaan.

Sehubungan itu, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, BN akan kekal bertanding 21 kerusi, PH lima kerusi manakala dua kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN) akan dirunding.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi akan ditentukan oleh kedua-dua Pengerusi PH, Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

“Ketika ini lebih baik fokuskan segala usaha dan upaya untuk menangani pelbagai isu untuk membantu rakyat dan memakmurkan negeri serta negara. 

“Insya-Allah bila tiba masanya, kepimpinan akan mulakan perundingan dan perbincangan mengenainya,” katanya hari ini.

Isu pengagihan kerusi hangat diperkatakan selepas sembilan cabang DAP Melaka telah meluluskan resolusi strategi 14BN+14PH bagi menghadapi PRN akan datang.

Ekoran itu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menganggap ia hanya mimpi parti berkenaan kerana BN tidak akan sesekali melepaskan kerusi yang dimenangi dalam PRN lalu.

Dalam PRN Melaka pada 2021, BN berjaya menguasai 21 kerusi manakala PH menang lima kerusi sementara PN menguasai dua kerusi.

Penggal ke-16 Dewan Undangan Negeri Melaka akan berakhir tahun depan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan