TINDAKAN nekad menaikkan harga tambang sempena musim perayaan Aidilfitri lalu memakan diri apabila 13 syarikat bas ekspres dikesan mencatut, hingga dikenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
APAD berkata, daripada jumlah itu, lima syarikat ‘panas’ apabila terpaksa berdepan STS kali kedua dan dipanggil ke Ibu Pejabat APAD bagi memberi keterangan lanjut serta mengemukakan bukti tambahan.
Katanya, tindakan itu diambil hasil pemantauan rapi oleh APAD ke atas 101 syarikat bas ekspres membabitkan 371 kenderaan sepanjang tempoh perjalanan dari 15 Mac hingga 6 April lalu.
Menurut agensi itu, fokus pemantauan tertumpu kepada lapan laluan utama yang melibatkan empat terminal utama, iaitu Terminal Larkin, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Terminal Penang Sentral dan Terminal Kuala Terengganu.
“Hasil mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) pada 15 Mei lalu mendapati dua syarikat bersalah menaikkan tambang menjelang musim perayaan.
“Satu syarikat diberikan notis amaran kerana kenaikan harga yang dibuat bersifat nominal, manakala satu lagi dikenakan tindakan lebih berat — operasi digantung selama 14 hari kerana gagal menjawab STS Kedua,” kata kenyataan itu, semalam.
Jelas APAD, pemantauan ini selari dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat serta kemampanan sistem pengangkutan awam negara.
“APAD akan terus membuat pemantauan berkala terutamanya ketika musim perayaan bagi memastikan tambang tidak melebihi kadar siling ditetapkan. Tindakan tegas termasuk penggantungan lesen akan dikenakan jika syarikat didapati melanggar syarat perkhidmatan, termasuk dari aspek keselamatan mengikut ICOP,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai disarankan melaporkan sebarang ketidakpatuhan atau caj tambang luar biasa kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil.
Untuk rekod, sehingga 30 April lalu APAD telah melesenkan sebanyak 177 syarikat bas ekspres membabitkan 3,854 permit kenderaan beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Sejak sejak 9 September 2013, tambang siling bas ekspres ekonomi adalah dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambang sebanyak 10 peratus pada musim perayaan manakala tiada tambang siling untuk bas ekspres eksekutif. – Edisi 9

