
Oleh AZIZI SALIM
DI atas kertas, peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini sememangnya amat cerah.
Ini berlandaskan kepada beberapa faktor yang memberi kelebihan kepada calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir untuk menggantikan Allahyarham Ishsam Shaharuddin dalam DUN Perak nanti.
Pertamanya, DUN Ayer Kuning merupakan kubu kuat UMNO dan BN kerana tidak pernah tewas selama lapan penggal berturut-turut, termasuk ketika ‘tsunami politik’ melanda.
Bagaimanapun, dengan kehadiran para pengundi muda termasuk yang kali pertama membuang undi serta pengaruh media sosial, BN perlu berhati-hati agar tidak lemas dalam keyakinan yang terlampau.
Penguasaan alam siber menjadi penentu sejauh mana pengaruh media sosial dapat mempengaruhi pengundi pada hari pengundian nanti.
Keduanya, komposisi pengundi yang pelbagai iaitu Melayu (55 peratus), India (25 peratus), China (15 peratus) dan Orang Asli serta lain-lain (5 peratus).

Rekod PRK pasca-PRU-15 sebelum ini menyaksikan BN/PH tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan di kawasan pengundi bercampur.
Sebagai contoh di Kuala Kubu Baharu dan Mahkota, yang mana menyaksikan kedua-dua kerusi tersebut disapu oleh parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, seperti kata Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semalam, kemenangan adalah berdasarkan jumlah kertas undi yang dibuang di dalam peti undi.
“SPR tidak mengira jumlah bendera yang dipasang, atau jumlah kehadiran pada hari ini, tetapi SPR akan kira jumlah kertas undi yang dimasukkan dalam peti undi pada 26 April nanti,”katanya dalam ucapan sempena pelancaran jentera BN semalam.
Ketiga, berdasarkan keputusan PRU-15 lalu menyaksikan BN memperoleh 9,088 manakala wakil PH/Amanah pula mendapat undi kedua tertinggi iaitu sebanyak 6,875 undi manakala wakil PN/Pas memperoleh 6,812 undi.
Dua lagi calon masing-masing daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Pejuang pula memperoleh 586 dan 105.
Ini bermakna jika kombinasi undi yang diperoleh oleh BN dan PH diambil kira, maka di atas kertas Mohamad Yusri tidak menghadapi masalah untuk memperoleh 15,000 undi.
Namun, sepertimana diingatkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam politik 1+1 tidak bermakna 2 sebaliknya ia bergantung banyak faktor lain.
Justeru, menjadi tugas jentera pilihan raya yang didatangkan dari seluruh negara untuk membantu jentera tempatan bagi meraih undi bagi memastikan kemenangan BN.
Keempat, sokongan DAP terutama dalam meraih undi daripada kaum Cina amat penting dalam memastikan kemenangan calon BN dalam PRK tersebut.
Ini sepertimana yang berlaku di Mahkota, yang mana para pengundi Cina telah memberikan undi kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dan menang dengan majoriti lebih 20,000 undi.
Manakala faktor kelima ialah calon, Ustaz Yusri yang bukan sahaja mempunyai latar belakang agama, berpendidikan tertinggi peringkat PhD tetapi juga aktif dalam kegiatan sosial di kawasan tersebut.
Beliau juga sudah cukup dikenali di Ayer Kuning memandangkan beliau memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Bahagian dan terbaharu sebagai Setiausaha Bahagian Tapah.
Beliau juga sering bersama Allahyarham Ishsam sebelum ini menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk rakyat di DUN Ayer Kuning. Pendek kata, Ustaz Yusri bukan ‘orang asing’ di Ayer Kuning.
Berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh BN di DUN Ayer Kuning, sudah tentu amat sukar bagi parti lawan khususnya Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kerusi tradisi UMNO tersebut.
Menyedari hakikat itu, PN/Pas telah lebih dahulu melancarkan jentera pilihan raya mereka iaitu ketika di bulan Ramadan dan melakukan ‘serangan awal’ terhadap UMNO dan Kerajaan Perpaduan.
Pun begitu, pembangkang jelas tiada modal untuk mengharungi PRK kali ini sehingga terpaksa mengheret isu-isu kecil yang langsung tiada kaitan dengan Ayer Kuning seperti isu Abang Belon dan kebakaran paip gas Petronas di Putra Heights.
Selebihnya mereka hanya mampu memaki hamun dan memperbodoh-bodohkan orang lain tanpa rasa bersalah walaupun di bulan puasa yang kemudian disebarluaskan melalui media sosial.
Melihat kepada rekod keputusan PRU yang lalu, jelas pengundi Ayer Kuning sebenarnya sudah mempunyai ketetapan di dalam hati mereka untuk memangkah calon yang terbaik bagi mereka.
Khidmat bakti yang diberikan oleh Allahyarham Ishsam sudah pasti akan kekal dalam ingatan para pengundi dan sebagai balasan, mereka akan memberi (sekali lagi) undi mereka kepada calon BN, Mohamad Yusri Bakir atau mesra dipanggil Ustaz Bakir. – Edisi 9

