MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengetuai senarai 32 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2025.
Dr Zaliha antara dua penerima Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pula antara sembilan individu yang menerima Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.
Penerima lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman; Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Turut menerima anugerah sama ialah Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Muhammad Razman Abu Samah; Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Zahid Ismail.
Penerima lain ialah Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar; Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah dan Pegawai Undang-undang Istana Negara, Zulharry Abdul Rashid.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu di Istana Negara, hari ini.
Selain itu, enam individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (JMW) dan lima individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (KMW).
Manakala empat individu lagi dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah (AMW) wdan enam individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). – Edisi 9

