23.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

UMNO mohon ihsan YDPA beri pengampunan penuh kepada Najib

Mesti Baca

UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras dengan kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Rayuan itu dibuat susulan perakuan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperakukan Titah Adendum berkenaan penahanan dalam rumah bekas Presiden UMNO itu wujud dan sahih.

“Perakuan kesahihan Titah Adendum ini yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Datuk Seri Najib yang telah dibuat oleh saya dan Datuk Seri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail, sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan melalui media sosialnya hari ini.

Zahid berkata, UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Advertisements

“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Najib hari ini berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan