KEMPEN Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 sempena program Penghijauan Malaysia mencapai sasaran lebih awal daripada yang ditetapkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan agenda global untuk pembangunan lestari.
“Prakarsa ini adalah sebahagian daripada komitmen negara pada persidangan bumi 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan hutan.
“Agenda nasional ini bermula pada 5 Januari 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang turut melibatkan penyertaan kerajaan negeri dan sektor swasta,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.
Sempena dengan itu, Perdana Menteri telah menanam pokok ke-100 juta di Taman Herba Parlimen, sekali gus menandakan pencapaian program Penghijauan Malaysia.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata, kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh agenda kemampanan di bawah konsep MADANI dalam memastikan pembangunan Malaysia yang seimbang dan manusiawi. – Edisi 9