PEMUDA UMNO Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kemungkinan wujud salah laku dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan pelaburan Fashion Valet Sdn Bhd.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, untung rugi sesebuah syarikat adalah perkara biasa namun jika dana tersebut datang dari dana awam maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan.
Beliau berkata, hasil suasatan juga perlu dibentangkan kepada awam supaya ia dapat menjadi pengajaran pada masa akan datang
“Maka kami cadangkan agar suruhanjaya siasatan diraja dapat ditubuhkan untuk menyiasat dua perkara yang menjadi polemik negara ini
“Sama ada Fashion Valet ataupun Nafas, jika ada salah laku yang wujud maka jangan biarkan waima seorang pon terlepas dari kartel-kartel yang menelan duit rakyat ini,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor telah melancarkan siasatan ke atas kerugian yang dialami oleh Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada pelaburan jutaan ringgit mereka dalam jenama fesyen tempatan, Fashion Valet.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, beliau telah mengarahkan siasatan ke atas perkara itu, yang dianggapnya membimbangkan kerana ia melibatkan dana dan kepentingan awam.
Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengarahkan Khazanah melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta.
Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata, arahan tegas itu sebagai memaknai pengumumannya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
SPRM juga sedang menyiasat Nafas, yang berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berhubung dakwaan penglibatan kartel dalam kontrak pengedaran dan pembekalan baja padi. – Edisi 9