KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang disaman oleh Teresa Kok berhubung isu sijil halal menggesa Ahli Parlimen Seputeh itu turut mengemukakan saman terhadap ChatGPT.
Ia susulan dakwaan Teresa bahawa aplikasi kecerdasan buatan (AI) itu yang membuat kesalahan ketika menterjemah kenyataannya menjadi punca pendapatnya mengenai isu sijil halal disalahertikan.
“Sebelum ini salah Dr Akmal katanya, sekarang dah jadi salah ChatGPT pula ya. Apa punya lawaklah nyonya ni. Mohon saman juga ChatGPT tu ya. Tak sabar rasanya nak lawan di mahkamah,” katanya hari ini.
Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Teresa dilaporkan berkata, kesalahan terjemahan oleh ChatGPT dan tumpuan media terhadap unsur sensasi adalah punca kenyataannya berkenaan cadangan mewajibkan sijil halal menjadi kontroversi.
Beliau yang dipetik sebagai berkata, kesilapan terjemahan kenyataan asalnya dalam bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu menyebabkan ada bahagian diterjemah menjadi “sensitif”.
“Sewaktu polis menyiasat saya, mereka menunjukkan saya laporan berita yang disiar oleh portal berita tempatan dan kenyataan asal saya daripada Facebook. Polis bertanya kepada saya dengan merujuk setiap perenggan dalam kenyataan itu. Saya pun berterus teranglah.
“Kenyataan asal saya sebenarnya dalam bahasa Mandarin dan saya mengarahkan pekerja saya yang berbangsa Melayu yang fasih bertutur dan menulis dalam Mandarin untuk menterjemahkan ke bahasa Melayu.
“Namun, disebabkan pekerja saya tergesa-gesa ke luar negeri menjalankan tugas, maka, kenyataan ini diterjemah menggunakan varian model bahasa ChatGPT kerana lebih cepat.
“Namun, ada perkataan tertentu yang diterjemah ‘lari’ daripada maksud asal dan pihak kami pula kurang teliti dengan perkataan yang digunakan,” katanya.
Minggu lalu, media melaporkan, Teresa menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal selepas mendakwa ADUN Merlimau itu memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.
Surat tuntutan (LOD) kepada Akmal dihantar Teresa menerusi firma Sankara Nair and Partners.
Selain tuntutan ganti rugi RM25 juta, Teresa turut menuntut segala kos dan perbelanjaan yang disebabkan isu ini.
Bagaimanapun, Akmal yang diberi tempoh tujuh hari bekerja untuk memberikan maklum balas berkata, beliau tidak gentar dengan saman tersebut dan bersedia untuk bertemu Teresa di mahkamah. – Edisi 9